PENGENALAN ILMU TAUHID
" Tauhid" adalah berasal dari bahasa Arab ( wahid) bermakna mengetahui bahawa sesuatu itu satu. Manakala mengikut syarak Tidak ada satu zat pun yang boleh menyerupai zat Allah, begitu juga sifat-sifat dan perbuatannya. Tauhid juga boleh diertikan sebagai mensabitkan bahawa ada satu zat yang tidak menyerupai dengan mana-mana zat yang lain.
Dari segi istilah perkataan 'Tauhid" bermakna satu ilmu yang membolehkan seseorang itu menetapkan agamanya menerusi dalil-dalil yang meyakinkan atau ilmu yang membicarakan zat Allah serta sifat-sifatNya dan sifat-sifat Rasul, serta menerangkan perkara-perkara yang mungkin dan perkara-perkara yang didengar melalui Quran dan Hadis.
Dalam membincangkan zat Allah bukan bertujuan untuk mengetahui dan mendalami hakekatNya. Ini disebabkan tidak ada siapa yang boleh mengetahui hakikat Allah selain daripada zat Allah iaitu mengetahui perkara yang wajib, mustahil dan harus bagi Allah. Begitu juga untuk membahaskan sifat-sifat Allah bagi mensabitkan adanya Allah, ia hanya dengan membuktikan dengan yakin melalui pembahagian sifat-sifatnya kepada Nafsiah, Salbiah, Maknawiyah dan maani serta menerangkan sifat-sifat yang ada kaitan dengan perkara-perkara lain yang tidak wujud.
Perbincangan tentang Rasul-rasul pula ialah dengan menekankan kepada adanya perkara wajib, mustahil dan harus pada hak mereka, perutusan rasul-rasul dan mensabitkan kebenaran mereka melalui mukjizat-mukjizat. Begitu dalam membicarakan perkara-perkara mungkin alam ialah dharuri segi baharunya untuk dijadikan asas bagi mensabitkan adanya pencipta .
Selain itu apabila membincangkan tentang perkara-perkara yang didengari darisyarak atau sam'iyat ialah dari segi keyakinan tentang adaNya dan berlakunya sebagaimana yang disampaikan dan diberitakan oleh Rasul yang maksum (bersih dari segala dosa).
Aqidah - tauhid mempunyai pengertian yang sama iaitu ilmu yang menyelidiki dan memeriksa kepercayaan seseorang berkaitan dengan ketuhanan, kerasulan dan sam'iyat dengan dalil- dalil yaqiniyah yang aqliyah dan naqliyah yang boleh menghilangkan semua keraguan yang ada dalam hati seseorang manusia.
Aqidah - tauhid adalah satu ilmu yang mendedahkah kebatilan, keraguan dan pendustaan orang-orang musyrikin terhadap orang-orang yang beriman mempercayai Allah , rasul-rasul, hari akhirat, Qada' dan Qadar yang tersebut di dalam hadith Rasullah sallahhualaihiwassalam (s.a.w) sebagaimana yang tersebut di dalam hadith Rasullah s.a.w yang di riwayatkan daripada Umar Al- Khattab radiaallahuanhu (r.a) ketika malaikat Jibrail datang kepada Nabi s.a.w menyerupai seorang Arab bertanya mengenai Islam, Iman dan Ihsan.
Rasullah s.a.w menjawab mengenai Iman melalui sabdanya :
Maksudnya " Beriman dengan Allah, Malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya, hari akhirat dan beriman dengan takdir baik dan jahat"
(Riwayat Bukhri dan Muslim)
Aqidah - tauhid mempunyai peranan penting untuk menetapkan keimanan di dalam hati seseorang serta meyakinkan wujud Allah dan mentauhidkan-Nya. Orang-orang yang beriman mempercayai dan meyakini wujud Allah dan mentauhidkan-Nya, serta mengiktikadkan bahawa Allah subhanahuuwata'ala (s.w.t) bersifat Kamalat (sifat kesempurnaan ) dan Maha suci dari sebarang sifat kekurangan.
Wassalam...
